Faiza Bawumi Sayed Ahmad
Syarikat Faiza Sdn. Bhd.
LATAR BELAKANG USAHAWAN
"Saya ingin menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini."
-Azam pemilik Syarikat Faiza Sdn.Bhd.
Faiza Bawumi Sayed Ahmad adalah pemilik
syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd. pada tahun 1964, wanita
kelahiran Mesir ini telah berhijrah ke Malaysia kerana mengikut
suaminya. Pada ketika itu, beliau mampu menguasai Bahasa Melayu dan
fasih berbahasa Melayu setelah hanya tiga bulan di Malaysia kerana sifat
beliau yang peramah dan suka bergaul dengan jiran jirannya. Meskipun
sudah berusia lingkungan 60an, beliau yang mempunyai tujuh orang anak dan juga
seorang nenek kepada 32 cucu sibuk masih giat merancang strategi bagi
mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini.
Wanita yang berperwatakan lembut itu
sebenarnya seorang yang tegas. Beliau mahu memastikan syarikat yang ditubuhkan
perlu berada di landasan betul sekali gus mencatatkan keuntungan saban tahun.
Puan Faiza yang memangnya dilahirkan dalam keluarga yang juga bergiat
dalam perniagaan. Berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak
kecil, beliau pernah menjadi juruwang di kedai milik bapanya.
Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk bergiat secara serius dalam bidang
perniagaan.
Setelah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata yg pertama, beliau mengikut suaminya berhijrah ke Malaysia. Puan Faiza mencari aktiviti berfaedah yg boleh dilakukannya bagi mengelakkan masanya terluang begitu sahaja. Beliau bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM 4.00 dan menjual pelbagai barangan dapur. Beliau juga membeli kain ela dan membuat baju gaun untuk anak-anak kecil jiran-jirannya. Kemudian beliau menghasilkan set sarung bantal. Hasil jahitannya yang cantik dan kemas dijual kepada kawan-kawannya. Seterusnya, beliau berniaga set ensiklopedia, diikuti bisnes pinggan mangkuk. Melalui bisnes kecil kecilan ini, beliau menabung wang bagi menjadikan modal bisnes seterusnya.
Beliau berminat pula menghasilkan rempah kari. Beliau membeli pelbagai rempah ratus seperti ketumbar, jintan, halba, cili kering, cengkih dan sebagainya untuk membancuh ramuan-ramuan tersebut bagi menghasilkan rempah kari ikan dan daging di bawah jenama Bunga Raya. Semuanya dilakukan sendiri di rumah, daripada mencuci, menjemur dan menggoreng rempah ratus tersebut. Kemudian, beliau menghantarnya ke kedai bagi dikisar dan diedarkan.
PERMULAAN KEJAYA USAHAWAN
Beberapa tahun kemudian, Puan
Faiza membeli pula sebuah mesin pengisar dan membuka kedai runcit dengan
modal daripada menjual rempah kari itu. Dari situ beliau mendapati bahawa
pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain. Beliau mula belajar
pelbagai jenis beras. Puan Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual
pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam
setelah mendapat maklumbalas positif atas usaha selidik beliau pergi dari satu
kedai ke satu kedai bagi mendapatkan respon sama ada mereka akan membeli
berasnya jika beliau menjualnya. Para pelanggan yang melanggan
rempah-rempah beliau turut membeli beras daripadanya.
Pada permulaan, beliau agak buntu melihat satu lori treler penuh berisi
beras diletakkan di hadapan rumah, namun beliau nekad dengan berusaha
membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai-kedai di
seluruh Johor. Perniagaan beliau mendapat sambutan walaupun mendapat persaingan yang
agak sengit. Pada awal tahun 90an, syarikat telah mengambil peluang ke atas kepekaan
masyarakat pada ketika itu kepada cara pembuatan dan kandungan makanan.
Syarikat mula memperkenalkan dengan sejenis kategori beras berkualiti dari
Kartanaka, India. Beras ini adalah jenis beras “Ponni”. Menerusi produk
berkualiti dan berkhasiat sesuai untuk pesakit seperti pesakit diabetis, SFSB
memperkenalkan beras “Ponni” ini ke seluruh Malaysia.
Kini, syarikat beliau telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi,
seratus peratus buatan Islam dan halal. Beliau berharap dengan penglibatan dalam
penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk
mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa was-was meragui status
halalnya.
Puan Faiza bukan sahaja menjadi Pengarah Urusan Syarikat Faiza, tetapi
turut bertungkus-lumus menentukan operasi syarikat berjalan lancar dan turut
terlibat dalam projek kilang milik Syarikat Faiza bernilai RM14 juta di Sri
Gading, Batu Pahat. Kejayaan beliau sekarang bukan diperolehi dengan mudah,
tetapi setelah mengharungi segala cabaran selama 43 tahun berkecimpung dalam
dunia perniagaan. Puan Faizah berkata semua usaha yang dilakukan itu
bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat
terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah. Puan Faiza menyarankan agar umat Islam di negara ini supaya hidup
bersatu padu supaya tidak mudah ditindas oleh bangsa lain dan hubungan yang
kukuh sesama umat Islam bukan sahaja mampu memajukan masyarakat Islam di negara
ini, malah mampu meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat tersebut.
Puan Faiza berkata pengalamannya berniaga, termasuk berurusan dengan
bangsa lain membuka mindanya untuk menyedarkan masyarakat Islam khususnya orang
Melayu betapa perlunya mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain
seperti yang diamalkan bangsa lain. Beliau sentiasa mencontohi keperibadian
Nabi Muhammad S.A.W dalam menjalankan kehidupan seharian, terutama amanah dan
gigihnya Baginda Rasullulah dalam menjalankan perniagaan serta dalam
menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.
"Niat saya hanya satu, iaitu tujuan saya berniaga bukan untuk kekayaan diri sendiri, tetapi untuk membantu orang lain terutama golongan miskin dan ibu tunggal menikmati kehidupan yang baik,
- Hajah Faiza Bawumi Sayed Ahmad
No comments:
Post a Comment